fb fb fb fb fb

Mesyuarat khas SPR bermula, umum tarikh penamaan calon dan mengundi

PUTRAJAYA, 20 Oktober- Mesyuarat khas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bermula pukul 10.05 pagi ini bagi menentukan tarikh penting Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya, Sabah turut dibincangkan dalam mesyuarat khas itu.

Mesyuarat yang dipengerusikan oleh Pengerusi SPR Abdul Ghani Salleh itu dijangka berlangsung selama kira-kira dua jam.

Sejurus selepas mesyuarat yang dijadual berakhir 12.00 tengah hari, SPR dijangka mengumumkan tarikh penamaan calon, hari pengundian serta tarikh writ pilihan raya, daftar pemilih yang akan digunakan serta persiapan untuk melaksanakan PRU15 dan PRK DUN Bugaya.

Turut hadir Timbalan Pengerusi SPR Dr Azmi Sharom, Setiausaha Datuk Ikmalrudin Ishak, ahli-ahli SPR iaitu Datuk Chin Phaik Yoong, Zoey Randhawa, Dr Mohd Faisal Syam Abdol Hazis, Datuk Awang Sahari E.M Nadzeer dan Datuk Nik Ali Mat Yunus serta pegawai-pegawai kanan SPR.

PRU kali ini berbeza apabila beberapa DUN tidak dibubarkan, iaitu Melaka, Johor, Sabah dan Sarawak, kerana belum mencapai tempoh matang.

Tiga negeri ditadbir PAS, iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah, serta tiga negeri bawah Pakatan Harapan, iaitu Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan juga tidak membubarkan DUN masing-masing.


(Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh (kiri)
mempengerusikan Mesyuarat Khas Urusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan Pilihan
Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.66 Bugaya, Sabah di Menara SPR
FOTO BERNAMA)

Berita berkaitan:
Hari mengundi akan diketahui hari ini - SPR

Hanya Perak, Pahang dan Perlis yang membubarkan DUN untuk mengadakan PRN serentak dengan PRU15.

Sebelum ini, PRU yang menyaksikan pilihan raya di peringkat Parlimen dan DUN di seluruh negara, kecuali Sarawak, dijalankan secara serentak.

Media Baharu