fb fb fb fb fb

Mesyuarat khas banjir diadakan minggu depan - PM

BERA, 30 Januari- Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat Pusat untuk menangani isu banjir secara komprehensif akan diadakan minggu depan.

Mesyuarat ini turut melibatkan beberapa kementerian dan kerajaan negeri, yang memberi fokus kepada perancangan jangka panjang membabitkan pembinaan tebatan banjir atau mengurangkan kesan impak bencana itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerjasama semua pihak dan pelbagai agensi diperlukan untuk menangani masalah banjir pada masa depan.

Ini sekaligus mengelakkan kerajaan terus berbelanja besar hampir setiap tahun untuk membaiki kerosakan akibat bencana itu.

"Kita nak selesaikan secara menyeluruh dan tidak mahu isu ini berulang kerana akhirnya kerajaan yang terpaksa berbelanja setiap tahun misalnya tahun ini sahaja lebih RM6 billion, sekiranya perbelanjaan itu digunakan untuk projek tebatan banjir, mungkin kita dapat selesaikan isu ini.

"Jadi kita nak dapatkan pandangan daripada kementerian berkaitan dan kerajaan negeri kerana mereka juga terbabit, sekiranya kita mahu membina rumah mangsa banjir di kawasan lain dan sebagainya, kerana bidang kuasa tanah di bawah mereka," katanya ketika sidang media selepas menyerahkan Wang Bantuan Pembelian Barangan Keperluan Monsun Timur Laut 2021/2022 Daerah Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera.

Pada majlis berkenaan, seramai 1,157 ketua isi rumah mangsa banjir di sini, menerima wang tunai RM2,500.

Mengulas mengenai bantuan berkenaan, Ismail Sabri berkata, bagi kawasan lain, bantuan itu juga sedang giat diagihkan dan akan disegerakan bagi meringankan beban mangsa banjir.

Media Baharu