fb fb fb fb fb

Mesyuarat bersama agensi berkaitan, bincang persediaan banjir Isnin ini - PM

BANGI, 10 September- Mesyuarat bersama semua agensi serta pihak terlibat bagi persediaan bencana banjir akan diadakan Isnin ini.

Jelas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mesyuarat itu turut melibatkan wakil kerajaan negeri bagi memastikan semua pihak bersedia lebih awal dalam menghadapi bencana itu.

Mesyuarat juga bagi memastikan pusat perpindahan banjir, stok makanan serta peralatan logistik telah bersedia menghadapi fenomena hujan lebat yang dijangka berlarutan sehingga awal tahun depan.

"Sesetengah negeri bersedia, sesetengah negeri yang tak biasa menghadapi banjir tak bersedia, jadi akhirnya berlaku seperti yang telah berlaku dululah, seperti yang berlaku di Selangor.

"Saya nak kali ini semua bersedia bukan sahaja di peringkat Persekutuan, tapi banjir ini sampai ke peringkat daerah pun mesti bersedia sejak awal lagi.

"Dari segi pusat pemindahan banjir sudah ada bekalan makanan, kalau boleh semua dah sedia sebelum berlaku apa-apa," katanya.

(Ismail Sabri)

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menghadiri program Aspirasi Kecemerlangan Keluarga Malaysia, di sini hari ini.

Ujarnya, mesyuarat itu susulan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia, mengenai banjir besar yang dijangka melanda beberapa negeri Semenanjung pada November ini.

Media Baharu