fb fb fb fb fb

LKIM sediakan bekalan ikan segar sejuk beku di kawasan risiko banjir

TUMPAT, 10 September- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) akan menyediakan bekalan ikan segar sejuk beku di kawasan berisiko banjir terutama pada musim tengkujuh nanti.

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LKIM, Kusuadi Sallih berkata, pihaknya juga sedang merangka jawatankuasa persediaan bencana alam bagi memastikan bekalan ikan sentiasa mencukupi dan dapat dibekalkan ke kawasan yang dilanda banjir.

"Kita turut menyediakan pusat pengumpulan ikan di beberapa negeri sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh tahun ini. Selain itu, kita akan mendapatkan maklumat dari semasa ke semasa dari Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengenai situasi banjir yang akan berlaku di negara ini," katanya.


(Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) LKIM, Kusuadi Sallih)

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Jualan Murah Keluarga Malaysia (PJMKM) peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Pekan di Wisma I'Baadurraham Taybah Mart di Tumpat.

Program dirasmikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Media melaporkan MetMalaysia meramalkan Malaysia akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini yang membawa kepada banjir besar.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, beliau berkata, 22 DUN di Kelantan telah melaksanakan Program Jualan Murah Keluarga Malaysia, dengan nilai jualan mencecah RM1.2 juta melibatkan 24,335 pengunjung.

Media Baharu