fb fb fb fb fb

Tiga lagi menara telekomunikasi akan dibina di Pulau Bum Bum- Annuar

(Tan Sri Annuar Musa berucap selepas meninjau menara telekomunikasi di
Kampung Kabimbangan, Pulau Bum Bum hari ini/ BERNAMA)

SEMPORNA, 10 September- Tiga lagi menara telekomunikasi akan dibina di Pulau Bum Bum, Semporna, Sabah bagi memastikan seluruh pulau berkenaan menerima capaian internet sepenuhnya.

Ketiga-tiga menara berkenaan akan dibina di Kampung Galam-Galam, Singamata dan Tabunan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, setakat ini, Pulau Bum Bum memerlukan sekurang-kurangnya 12 menara telekomunikasi bagi memastikan jaringan internet yang lebih baik.

"Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) pastikan siapkan segera (menara) jangan tangguh... saya mahu siap sebelum akhir 2023, lagi cepat lagi bagus supaya jaringan internet di sini lebih baik.

"Apabila menara baharu ini siap, sudah tentu membantu menyelesaikan masalah liputan jalur lebar yang dihadapi penduduk kampung," katanya ketika berucap selepas meninjau menara telekomunikasi di Kampung Kabimbangan, Pulau Bum Bum hari ini.

Setakat ini, hanya sembilan menara telekomunikasi di pulau berkenaan, dan ia tidak mampu memberi jaringan internet secara menyeluruh.

Annuar berkata penduduk kampung juga perlu memanfaatkan capaian Internet yang lebih baik itu dengan menambah pendapatan keluarga.


(FOTO FAIL)

"Internet jangan kita guna sekadar telefon, WhatsApp, tidak cukup. Orang kampung mesti jadikan  kegiatan ekonomi lebih baik kerana melalui kemudahan Internet, barang di Pulau Bum Bum pun boleh dijual di seluruh negara," katanya.

Beliau turut meminta MCMC mewujudkan satu lagi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) di Pulau Bum Bum bagi membantu anak muda dan penduduk untuk terlibat dalam kegiatan ekonomi desa serta ekonomi digital.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya satu kempen 'Jangan Membuang Sampah Ke Laut' dilaksana di daerah ini.

Ia bagi menjaga keindahan perairan Semporna yang terkenal sebagai salah satu pusat pelancongan tercantik di dunia.

Media Baharu