KUALA LUMPUR, 13 September – Program Merdeka Suka Cipta 2025 anjuran Balai Seni Negara sehingga esok berlangsung meriah dan mendapat sambutan menggalakkan dengan penyertaan merentasi pelbagai lapisan masyarakat, daripada kanak-kanak hingga dewasa.
Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Datuk Shaharuddin Abu Sohot berkata, penganjuran yang memasuki edisi ke tiga ini bukan sahaja membuka ruang untuk rakyat menonjolkan bakat dalam bidang seni, malah menjadi platform mengeratkan perpaduan masyarakat berbilang kaum.
“Program yang kita panggil Merdeka Suka Cipta 2025 dan sambutannya amat menggalakkan.
"Kita lihat ramai yang hadir dan terus serta dalam program-program pada hari ini dengan pelbagai aktiviti telah dilaksanakan oleh Balai Seni Negara dan kita harap program-program seperti ini akan dapat diteruskan pada masa-masa yang akan datang kerana di samping kita menarik minat peserta, kita juga dapat mencungkil bakat-bakat baru untuk kita ketengahkan dalam bidang mereka.” katanya selepas merasmikan program itu di Balai Seni Negara, di sini, hari ini.
Program dari 12 September itu menampilkan pelbagai pertandingan kreatif, antaranya Pertandingan Seni Lukis Kanak-kanak bertemakan “Impian Saya untuk Malaysia”, Pertandingan Reka Cipta Arca dan Instalasi, Seni Lukis Figuratif serta Kreasi Reka Kostum Inspirasi Koleksi Seni Negara.
Pertandingan dibuka kepada peserta dari peringkat sekolah rendah hingga dewasa, sekali gus memberi peluang kepada bakat muda dan belia menonjolkan kreativiti masing-masing.
Program turut dimeriahkan dengan aktiviti komuniti seperti Wall of Battle, Art Pacak, Skateboard dan Fingerboard, yang mendapat sambutan khususnya daripada golongan belia.
Dalam pada itu, pengunjung juga berpeluang mengikuti bengkel seni, zumba, tayangan animasi, aktiviti wall climbing serta menikmati persembahan pentas sepanjang penganjuran.
Tegasnya, usaha memperluaskan program seni dan budaya akan terus dipergiat terutama menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, bagi memastikan lebih ramai rakyat berpeluang terlibat dalam aktiviti seni yang menyatukan masyarakat.