PUTRAJAYA , 13 September - Semua pihak diingatkan untuk menghentikan desakan melampau berkaitan isu kemasukan ke universiti menerusi sistem UPUOnline .
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir berkata, situasi itu hanya akan mengeruhkan keadaan.
Beliau turut menyeru semua pihak untuk memperkukuh keyakinan terhadap sistem pendidikan tinggi negara demi masa depan pelajar.
"Saya menyeru kepada pihak pihak tertentu jangan keterlaluan menggunakan kesempatan ini untuk memenuhi matlamat matlamat kumpulan tertentu ataupun bagi kepentingan politik tertentu.
"KPT sentiasa berusaha memastikan peluang yang adil dapat diberikan kepada semua pelajar melalui sistem yang selama ini kita laksanakan berasaskan kepada prinsip meritorasi keputusan pelajar pelajar itu sendiri", ujarnya menerusi kenyataan video di sini, hari ini.
Beliau berkata, KPT sentiasa terbuka untuk sebarang perbincangan dan berusaha menyelesaikan setiap permasalahan yang timbul dalam kalangan pelajar yang membuat permohonan melalui sistem dalam talian tersebut.
Ini bagi memastikan mereka mendapat peluang melanjutkan pendidikan ke peringkat pengajian tinggi selain menasihatkan orang ramai lebih berhati-hati mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu berkenaan.
"Oleh itu saya menyeru semua pihak supaya menghentikan desakan melampau yang hanya akan mengeruhkan keadaan, sebaliknya mari kita sama-sama memperkukuhkan keyakinan terhadap sistem pendidikan tinggi negara demi masa depan anak anak", katanya.