PAPAR, 13 September - Pendaftaran subsidi petrol RON95 bagi syarikat pengangkutan komersial sektor darat awam dan barangan boleh dibuat menerusi laman sesawang Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) bermula 10 pagi, pada Isnin.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, semua syarikat pengangkutan awam dan barangan dinasihatkan membuat permohonan segera.
Katanya, langkah itu penting bagi memastikan tiada pihak tercicir daripada menerima manfaat subsidi apabila penyasaran petrol RON95 dilaksanakan kelak.
"Kementerian Kewangan akan mengumumkan perincian pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95 dalam masa terdekat.
“Sebaik sahaja mendapat kelulusan, syarikat boleh terus memohon Fleet Kad daripada syarikat minyak yang dilantik. Proses ini mengambil sedikit masa, jadi kami menasihatkan semua pengendali pengangkutan darat awam dan barangan membuat permohonan segera,” katanya selepas melancarkan Program Sentuhan Kasih Jualan Rahmah Madani dan Advokasi Kepenggunaan hari ini.
Beliau memberi jaminan kelulusan pendaftaran melalui Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKDS) disiapkan dalam tempoh 24 jam termasuk cuti umum untuk mempercepatkan proses mendapatkan Fleet Kad.
"Langkah ini memastikan syarikat kenderaan pengangkutan barangan menikmati subsidi kerajaan apabila penyasaran petrol RON95 dilaksanakan kelak, yang dijangka bermula pada tahun ini juga," katanya.
Sembilan kategori sektor pengangkutan darat awam layak memohon iaitu teksi, kereta sewa, bas sekolah, van mayat, ambulans, bomba, bas pengantara, bas berhenti-henti serta bas mini.
Bagi sektor pengangkutan darat barangan pula, sebanyak 12 kategori layak memohon.
Ini termasuk van panel, van window, van semi panel, lori katering makanan, van katering makanan, lori rigid (kargo am), lori rigid (luton/kotak), lori rigid (sejuk beku), lori rigid (perkhidmatan bergerak), van rigid (perkhidmatan bergerak), lori rigid (kandang haiwan) dan lori rigid (hasil pertanian).
Syarikat pengangkutan boleh membuat permohonan pendaftaran menerusi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my.