fb fb fb fb fb

Menyatukan ulama dan tokoh ilmuwan untuk masa depan ummah

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

SHAH ALAM, 19 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berbesar hati meraikan kehadiran para ulama dan tokoh ilmuwan Islam bersempena Festival Turath Islami 2025 yang diadakan di Kediaman Rasmi Dato’ Menteri Besar Selangor, Shah Alam, semalam.

Dalam kenyataan facebooknya, Perdana Menteri menzahirkan penghargaan atas pertemuan penuh makna itu dan menegaskan komitmen kerajaan persekutuan dan negeri dalam menyokong pengembangan warisan ilmu Islam.

Beliau turut berkongsi pengalaman menekuni kitab Munyatul Musolli karya Syeikh Daud al-Fatani yang bukan sekadar membahaskan ibadah solat, malah mengangkat nilai keadilan dan tatakelola yang baik.

Perdana Menteri turut menyeru agar umat Islam memperkukuh wahdatul fikr atau kesatuan pemikiran, demi menghadapi cabaran masa kini dan menjauhi perpecahan serta mengadu domba.

Turut hadir majlis tersebut, Syeikh Dr Mohammad Akram Nadwi, Syeikh Dr Majd Makki, Syeikh Prof Dr Idris al-Kharshafi dan Syeikh Dr Adi Hidayat bersama barisan ulama dan guru pondok dari seluruh Malaysia serta Patani.

Festival Turath Islami berlangsung selama sembilan hari bermula 12 Julai lalu sehingga esok, dengan harapan ia terus menjadi wadah ilmu yang memberi manfaat dan barakah buat seluruh umat Islam di Malaysia.

MARDHIYAH MOHAMMED ZIN