PUTRAJAYA, 19 Julai -Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar memberi jaminan usaha membendung sebarang perlakuan bercanggah dengan syariat Islam akan terus diperkasa di peringkat kerajaan persekutuan mahupun negeri.
Beliau menerusi satu kenyataan berkata, perbuatan itu jelas bercanggah dengan syariat Islam malah menghina fitrah dan maruah insan yang diciptakan Allah dalam bentuk sebaik-baiknya.
"Antara inisiatif sedia ada yang dilaksanakan Jabatan Kemajuan Islam Malayisa (JAKIM) ialah Kem Bimbingan Spiritual dan Pembangunan Manual Hijrah iaitu program pemulihan rohani dan psikososial untuk golongan yang berisiko serta mendidik masyarakat termasuklah para pendakwah dalam pendekatan yang hikmah dan berhemah terhadap isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT)," katanya susulan serbuan perjumpaan yang dipercayai melibatkan aktiviti songsang di Kota Bharu baru-baru ini.
Katanya perbuatan itu satu kesalahan bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah negeri-negeri iaitu bawah Seksyen 28 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) Kelantan 2019, mana-mana lelaki yang melakukan musahaqah atau liwat boleh dikenakan hukuman denda, sebatan dan penjara, jika sabit kesalahan.
Beliau turut menyatakan kebimbangan dengan gejala sosial itu."Dalam ketegasan menolak perbuatan mungkar, pihak kami tidak boleh berputus asa dalam usaha membimbing dan menyelamatkan mereka yang telah jauh tersasar dari syariat Islam," katanya lagi.
Manakala tindakan pantas dan berhemah pihak Kontinjen Polis Diraja Malaysia Kelantan pula amat dihargai dalam membendung kegiatan yang bertentangan dengan nilai moral, agama dan undang-undang negara.