KUALA LUMPUR, 23 Februari- Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor (Royal Press Office) memaklumkan terdapat akaun media sosial palsu menyamar sebagai Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan menggunakan gambar Keluarga Diraja Johor tanpa kebenaran.
Perkara itu dimaklumkan menerusi satu hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dan tidak mudah terpengaruh dengan akaun-akaun palsu ini yang sering digunakan oleh scammers untuk tujuan penipuan di Facebook serta platform media sosial lain," menurut hantaran itu.
Pejabat Media dan Komunikasi Keluarga Diraja Johor juga menegaskan penyamaran dan penyalahgunaan identiti adalah satu kesalahan di sisi undang-undang.
Tindakan tegas akan diambil terhadap pihak terlibat mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.
Menerusi hantaran sama, beberapa tangkap layar turut disertakan memaparkan akaun palsu di platform X (dahulu dikenali sebagai Twitter) berserta hantaran-hantaran yang dibuat.