fb fb fb fb fb

Kerjasama PETROS-PETRONAS, Sarawak sedia untuk berbincang

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg/BERNAMA

KUCHING, 23 Februari- Sarawak bersedia untuk mengadakan pertemuan bersama kerajaan Persekutuan bagi memperincikan skop kerjasama antara Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) dan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS).

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pihaknya bersedia sekiranya ada pertemuan dilakukan mengenai tujuan kerjasama tersebut.

"Kalau dia ajak, kita datanglah. Bukanlah sesuatu yang mendesak, tapi sekurang-kurangnya bagus ada kerjasama antara kita," kata Abang Johari kepada pemberita hari ini, di sini.

Bagaimanapun, Premier mendedahkan bahawa beliau belum dimaklumkan berkenaan pertemuan tersebut.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sidang Media Permukiman Jemaah Menteri, Kerajaan MADANI 2025 memaklumkan kerajaan Persekutuan akan mengadakan pertemuan bersama Premier Sarawak berkenaan kerjasama PETRONAS dan PETROS.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM