SERIAN, 23 Februari - Empat cedera parah manakala lima cedera ringan dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah van dan kereta berhampiran Kampung Pichin, Jalan Serian-Tebedu, di sini, petang tadi.
Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak dalam kenyataan berkata, mereka yang cedera parah terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita.
"Membabitkan sebuah van sewa yang membawa enam penumpang dan sebuah kereta yang dinaiki tiga individu," menurut kenyataan itu.
PGO menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 2.20 petang bersama lima anggota dan sebuah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Serian digegaskan ke tempat kejadian.
"Setibanya pasukan itu di lokasi, mereka yang terlibat dalam kemalangan tersebut telah dikeluarkan dari kenderaan dengan bantuan daripada orang awam yang berada ditempat kejadian," kata kenyataan itu.
Kesemua mangsa dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.