KAPIT, 1 Februari- Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, hari ini turun padang meninjau lokasi tanah runtuh di Jalan Song-Temalat-Kanowit, Kapit, yang berlaku akibat hujan berterusan sejak beberapa hari lalu.
Menurut satu hantaran di laman Facebook, beliau berkata keadaan di lokasi kejadian agak teruk dan boleh mengancam keselamatan pengguna jalan raya.
Sehubungan itu, beliau telah mengarahkan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melakukan pemantauan berterusan terhadap pergerakan tanah di kawasan tersebut bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini.
“Kerja-kerja pembaikan perlu dilaksanakan segera kerana laluan ini merupakan jalan utama yang digunakan oleh penduduk setempat. Buat sementara waktu, laluan lencongan telah disediakan bagi kenderaan kecil dan ringan,” katanya.
Beliau turut mengarahkan supaya papan tanda dan arahan lalu lintas di kawasan lencongan dipasang dengan jelas demi keselamatan pengguna jalan raya.
Sementara itu, beliau merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bertindak pantas dalam menangani bencana ini serta memastikan kelancaran pergerakan trafik di kawasan terjejas.