KUALA LUMPUR, 1 Februari- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyeru masyarakat khususnya warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan untuk terus berganding bahu memastikan kemajuan yang diraih negara ketika ini dapat diteruskan serta memberi manfaat kepada generasi akan datang sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan.
Beliau menerusi hantaran di Facebook memaklumkan Wilayah Persekutuan menjadi simbol kepada kemakmuran Malaysia.
"Hari ini kita memperingati penubuhan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan. Wilayah Persekutuan bukan sahaja pusat kepada pembangunan negara, tetapi juga simbol perpaduan dan kemakmuran Malaysia," menurut hantaran itu.
Hari Wilayah Persekutuan disambut pada 1 Februari setiap tahun bagi memperingati pengisytiharan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan sebagai Wilayah Persekutuan.
Sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini merupakan sambutan kali ke-21 sejak diperkenalkan pada tahun 2004 bertemakan 'Wilayah Persekutuan Kita'.