fb fb fb fb fb

Akta A1667 berkuat kuasa, tambah baik pengurusan hutan simpan kekal

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 1 Februari- Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022 (Akta A1667) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan, berkuat kuasa mulai hari ini.

Perkara itu sebagai usaha menambah baik dan memantapkan pengurusan hutan simpanan kekal (HSK) serta penguatkuasaan hutan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) Nik Nazmi Nik Ahmad dalam satu kenyataan memaklumkan, pindaan akta tersebut telah dibuat bagi memperkasakan peruntukan-peruntukan yang berkaitan.

"Akta A1667 mengandungi 62 peruntukan melibatkan pindaan dan penambahbaikan yang meliputi proses pewartaan keluar dan penggantian HSK dengan memperkenalkan keperluan siasatan awam serta proses pelantikan pegawai perhutanan Persekutuan bagi memeriksa dan menyiasat orang yang disyaki melakukan kesalahan hutan.

"Pindaan itu turut merangkumi peningkatan kadar denda dan hukuman ke atas kesalahan hutan iaitu denda maksimum bermula RM20,000 hingga RM5 juta dan hukuman penjara maksimum tujuh hingga 20 tahun serta langkah mengatasi isu kekaburan dan kuasa yang tidak jelas," menurut kenyataan itu.

Menurut Nik Nazmi pindaan turut bertujuan mengatasi isu kekaburan dan kuasa yang tidak jelas, antaranya mengenai pelucutan deposit sekiranya berlaku pelanggaran lesen atau permit serta pemberian kuasa kepada PBN untuk mengenakan dan menerima fi bagi perkhidmatan hutan.

Penguatkuasaan Akta A1667 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dilaksanakan serentak dengan penguatkuasaan Kaedah-kaedah Perhutanan Negara (Wilayah Persekutuan) (Pindaan) 2025 (P.U.(A) 50/2025), yang mengandungi peruntukan bagi melaksanakan proses siasatan awam sebelum sesuatu kawasan HSK diwarta keluar.

NRES melalui Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan (JPWP) sedang berusaha untuk menambah keluasan kawasan HSK di Wilayah Persekutuan dengan mewartakan kawasan Bukit Dinding, Mukim Ulu Kelang, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur seluas 20.05 hektar.

Melalui pewartaan itu, kawasan berkenaan akan dapat dilindungi dan dikekalkan sebagai kawasan hijau selain boleh bertindak sebagai 'paru-paru' hijau bagi kawasan di sekitarnya.

Pewartaan ini juga akan meningkatkan keluasan kawasan HSK di Wilayah Persekutuan khususnya dan negara amnya, sekali gus menyokong komitmen negara untuk mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada kawasan tanah negara sebagai kawasan litupan hutan dan pokok-pokok.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI