PUTRAJAYA, 1 Februari- Tiada tolak ansur bagi perkara melibatkan salah laku tadbir urus hingga menjejaskan aspek integriti di Wilayah Persekutuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menegaskan mana-mana individu termasuk pegawai kementerian atau agensi di bawahnya akan dikenakan tindakan sekiranya didapati melanggar perkara tersebut.
"...sebab itu kita melakukan audit dalaman bagi menyiasat perkara ini. Semua pihak terlibat kita akan panggil untuk membantu siasatan.
"Sekiranya tidak bersalah tiada masalah tetapi jika ada apa-apa yang terkait maka kita akan ambil tindakan seterusnya. Saya kira laporan penuh akan diperoleh daripada Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif minggu depan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Terbuka Pertanian Bandar dan Kelulut di sini.
Beliau mengulas mengenai salah laku berkaitan tender terbuka atau perolehan projek membabitkan Ahli Lembaga Penasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang telah disahkan oleh Maimunah baru-baru ini.
Setakat ini siasatan mengenai perkara tersebut sedang dijalankan dan laporan penuh dijangka diperoleh minggu depan.
Dalam perkembangan lain Zaliha turut memaklumkan berkenaan persiapan lebih 3,000 tapak bazar Ramadan di Kuala Lumpur meliputi pemberian lesen dan penyelenggaraan hampir selesai.
"Setakat ini saya diberi taklimat semuanya hampir selesai, insya-Allah tinggal sedikit lagi dan kita dalam persediaan dan hampir selesai dari sudut pemberian lesen dan juga penyelenggaraan bazar Ramadan," katanya lagi.