KUALA LUMPUR, 25 Disember - Ahli Jemaah Menteri hari ini menyampaikan ucapan sambutan Hari Natal kepada penganut Kristian, sambil menekankan kepentingan perpaduan, keharmonian serta nilai saling menghormati dalam masyarakat majmuk Malaysia.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi hantaran Facebook memaklumkan sambutan Hari Natal mencerminkan keindahan Malaysia yang terus kukuh kerana kepelbagaian yang diraikan bersama, sekali gus menjadi tunjang kepada keamanan dan keharmonian negara.
"Sempena minggu sambutan yang panjang ini, ambillah kesempatan untuk menziarahi rakan dan keluarga serta mengeratkan hubungan sesama kita. Inilah semangat Kerajaan MADANI - meraikan kepelbagaian, mengukuhkan perpaduan," menurut hantaran itu.
Sementara itu Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook berharap sambutan perayaan itu membawa kedamaian, kegembiraan dan detik bermakna bersama keluarga, di samping meminta rakyat menikmati perjalanan yang selamat di jalan raya.
"Semoga musim perayaan ini membawa kegembiraan, kedamaian dan detik-detik bermakna bersama insan tersayang. Sempena menyambut Tahun Baharu, marilah kita terus bekerjasama dalam semangat perpaduan untuk membina negara yang lebih selamat, kukuh dan sejahtera," katanya.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil turut menyampaikan ucapannya sambil berharap nilai kedamaian dan kasih sayang sesama insan terus memperkukuh perpaduan demi masa depan negara yang harmoni.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said pula berharap sambutan Hari Krismas disambut dengan meriah dan dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan serta persahabatan.
"Dengan kepelbagaian agama dan budaya dalam negara, marilah kita terus memelihara keharmonian serta meningkatkan semangat perpaduan dan budaya saling menghormati demi kesejahteraan dan masa depan negara yang aman dan makmur, sejajar dengan nilai-nilai masyarakat MADANI," katanya.
Turut menyampaikan ucapan Hari Krismas di platform media sosial ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali, Menteri Pelancongan Datuk Seri Tiong King Sim, Menteri Digital Gobind Singh Deo, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Hannah Yeoh.