KANGAR, 25 Disember - Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Rus'sele Eizan, mengumumkan berlaku kekosongan luar jangka hari ini bagi kerusi DUN Chuping, DUN Bintong dan DUN Guar Sanji.
Perkara itu diumumkan selepas keahlian tiga ADUN kawasan berkenaan iaitu Saad Seman, Fakhrul Anwar Ismail dan Redzuan Hashim dari PAS terhenti serta-merta.
"Saya telah membuat semakan dan meneliti dengan sebaik baiknya perkembangan yang berlaku. Berkaitan dengan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dimaksudkan, saya berpuas hati untuk memutuskan bahawa telah berlakunya kekosongan luar jangka.
"Ia memenuhi kehendak Fasal (1)(a)(ii) Perkara 50A Undang-Undang Tubuh Kerajaan Perlis bagi DUN CHuping, DUN Bintong dan DUN Guar Sanji. Bagi tujuan itu, saya akan memaklumkan secara rasmi kekosongan luar jangka bagi tiga DUN berkenaan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam masa terdekat," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu sidang media di Pejabat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis di sini.
Terdahulu, keahlian Saad Seman, Fakhrul Anwar Ismail dan Redzuan Hashim telah terhenti keahlian sebagai ahli PAS selepas diputuskan dalam Mesyuarat Khas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
Ia berikutan tindakan menandatangani akuan bersumpah (SD) tidak menyokong kepimpinan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli dan menyerahkan SD tersebut kepada pihak Istana Perlis pada Jumaat lalu.