KUALA LUMPUR, 25 Disember - Operasi perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) disambung semula susulan gangguan operasi akibat kejadian pokok tumbang di KM268.795 laluan Sungkai–Slim River.
Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam satu kenyataan memaklumkan, kerja-kerja baik pulih sistem elektrifikasi selesai dilakukan pada 10.05 pagi hari ini, bagi memastikan perkhidmatan ETS kembali stabil, lancar dan mengikut jadual.
"Bagaimanapun, KTMB menjangkakan kelewatan sementara bagi beberapa perjalanan ETS susulan proses pelarasan semula jadual dan pergerakan tren.
"KTMB merakamkan penghargaan kepada para penumpang atas kesabaran dan kerjasama sepanjang tempoh gangguan operasi, serta memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami," menurut hantaran itu.
Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan melalui saluran media sosial rasmi KTMB dan orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan
KTMB di 03-9779 1200 bagi pertanyaan lanjut.