BANGKOK, 20 Disember - Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkesempatan hadir menyaksikan beberapa aksi perlawanan akhir membabitkan kontinjen negara pada temasya Sukan SEA Thailand 2025, termasuk acara skuasy, hoki dalam dewan dan polo pada Jumaat.
Beliau menyaksikan perlawanan akhir skuasy yang berlangsung di Vajiravudh College, yang menyaksikan Malaysia menambah dua pingat emas dan dua pingat perak menerusi kategori Perseorangan Lelaki dan Perseorangan Wanita.
Dr. Mohammed Taufiq turut hadir memberikan sokongan kepada pasukan Hoki Dalam Dewan Lelaki negara di Bangkok Youth Centre. Pasukan negara bagaimanapun terpaksa berpuas hati dengan pingat perak selepas tewas kepada Indonesia dalam perlawanan akhir.
Kemudian Dr. Mohammed Taufiq mengiringi Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang mencemar duli menyaksikan acara polo di Samut Prakan. Aksi tersebut menyaksikan pasukan negara berjaya meraih pingat emas.
Turut mengiringi ialah Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Dr. Nagulendran Kangayatkarasu.