fb fb fb fb fb

Menteri Agama ucap tahniah, pelantikan Sultan Perak dilantik sebagai Pengerusi MKI

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar

KUALA LUMPUR, 1 Mei- Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar merafak sembah dan mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) berkuat kuasa 9 Mac 2024.

"Sesungguhnya pelantikan DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan sebagai Pengerusi MKI akan terus memperkukuh kedudukan MKI bagi menjalankan fungsi-fungsinya berpandukan Peraturan- Peraturan MKI 2022 khususnya dalam menyelaras hal-hal berkaitan pentadbiran agama Islam," kata kenyataan itu.

Menurutnya, warga Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sentiasa berdoa ke hadrat Allah SWT agar diberikan petunjuk serta pedoman kepada DYMM Paduka Seri Sultan Perak Darul Ridzuan untuk menyempurnakan tanggungjawab sebagai Pengerusi MKI.

Terdahulu, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata pelantikan yang diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-265 itu adalah bagi menggantikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang telah tamat menjalankan tugas sebagai Pengerusi MKI selama dua tahun.

Walaupun terdapat titah gesaan daripada Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja agar baginda menyambung khidmat yang mulia dan cemerlang selama dua tahun lagi, baginda bertegas untuk mengundur diri, supaya tugas dan peranan penting sebagai Pengerusi MKI dipertanggungkan kepada seorang Raja lain.

Katanya, Sultan Selangor menghujahkan bahawa tugas serta amanah besar itu dipertanggungkan secara bergilir yang melambangkan semangat kebersamaan tanggungjawab dalam kalangan Raja-Raja sebagai Ketua Agama Islam di negeri masing-masing.

Ia untuk menjaga dan memelihara agama Islam menurut yang termaktub dalam Perlembagaan.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM