KUALA LUMPUR, 26 April- Menara Kuala Lumpur (Menara KL), mercu tanda ikonik negara, dibuka semula hari ini dengan wajah baharu dan tarikan yang lebih segar, sekali gus menarik perhatian pengunjung tempatan dan pelancong antarabangsa.
Di bawah pengurusan baharu, Menara KL kini menampilkan jenama yang lebih eksklusif termasuk restoran berputar panoramik ORBIT dan HEMISFERA, serta dewan mewah untuk acara istimewa.
Tinjauan Krew RTM seawal pukul 9 pagi tadi mendapati kawasan sekitar Menara KL mula dibanjiri pengunjung yang tidak sabar untuk merasai pengalaman di menara setinggi 421 meter itu.
Antara yang teruja, mahasiswa dari Aceh, Indonesia, Feronaudy Kevin de Bobik, Berle, yang menganggap kunjungan ke Menara KL sebagai satu pengalaman luar biasa.
“Kuala Lumpur dah tiga kali saya datang, tapi ini kali pertama sampai Menara KL. Saya sangat senang, lebih-lebih lagi dapat datang bersama orang tua dan teman-teman. Kotanya juga maju dan banyak tempat menarik,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pelawat dari Aceh, Cutnally TM Ali, menyifatkan kunjungan ke Menara KL memberi nilai tambah untuk dikongsikan kepada pelajarnya.
“Saya baca banyak tentang Menara KL, jadi rasa ingin lihat sendiri. Kebersihan sangat baik dan saya paling suka hutan sekelilingnya. Ada pokok lebih 130 tahun usianya. Saya akan bawa pengalaman ini ke Aceh untuk ajar pelajar saya jaga alam sekitar.”
Bagi pensyarah Universiti Ar Raniry, Prof Syamsul Rijal MA, kunjungan ke Menara KL buat pertama kali membuka perspektif baru terhadap keindahan Kuala Lumpur.
“Sangat terinspirasi bila dapat lihat keseluruhan bandaraya dari atas. Saya juga sempat dengar sejarah pembinaan menara ini. Satu pengalaman luar biasa.”
Menara KL sebelum ini ditutup sementara kepada umum bagi memberi ruang kepada kerja penyelenggaraan dan proses penambahbaikan di bawah pengurusan baharu.