fb fb fb fb fb

Keputusan kenaikan ETAP, diumum selewatnya Jun ini - Dzulkefly

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad/BERNAMA

KOTA BHARU, 26 April- Keputusan untuk menaikkan Elaun Tugas Atas Panggilan (ETAP) bagi petugas kesihatan akan dimuktamadkan selewat-lewatnya Jun depan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata perbincangan mengenainya kini di peringkat akhir dan pengumuman rasmi akan dibuat secepat mungkin.

"Kita akan buat pengumuman secara rasmi. Kenaikan itu sudah lama dinantikan tetapi insya-Allah kali ini kita akan dapat selesaikan semuanya secara tuntas.

Itu janji saya dan saya telah perjuangkan perkara ini sekian lama sebenarnya, sejak kembali penggal kedua ini. YAB Perdana Menteri telah mengulangi keperluan untuk segera diputuskan kerana saya tahu penantian itu satu penyiksaan," kata Dr. Dzulkefly kepada pemberita, hari ini.

ETAP merupakan imbuhan atas tanggungjawab tambahan yang dijalankan oleh pegawai perubatan dalam merawat pesakit semasa bertugas "on-call” di hospital selepas waktu bekerja biasa.

Beliau menyatakan perkara itu kepada pemberita selepas merasmikan Program Madani Afiat Peringkat Negeri Kelantan, di sini.

Program berkenaan merupakan sebuah pendekatan strategik Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menyampaikan perkhidmatan kesihatan secara langsung kepada masyarakat.

Dalam perkembangan lain, Datuk Seri Dr. Dzulkefly berkata pihaknya sedang memantau rapi dua perkara melibatkan peralatan perubatan dan produk farmaseutikal, susulan pengumuman yang dibuat Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk mengenakan tarif baharu terhadap produk berkenaan.

Katanya, walaupun Trump ada menyatakan pengecualian tarif tersebut termasuk sektor farmaseutikal, namun dibimbangi akan berlaku perkara di luar jangkaan.

"Kita sentiasa menekankan atau memantau dan sangat mustahak bagi saya sebagai Menteri untuk memperlihatkan dua perkara itu. Pertama, adalah peralatan perubatan dan yang kedua adalah ubat-ubatan.

Dalam masa sama, kita membuat persiapan untuk mencari pasaran dan sumber lain termasuk sumber API dan lain-lain lagi. Kita akan jalankan tanggungjawab kita," tambah Dr. Dzulkefly.

Rabu lalu, Presiden Donald Trump mengumumkan untuk mempertimbang penangguhan 90 hari ke atas tarif timbal balik terhadap lebih 75 negara rakan dagang, satu langkah yang disifatkannya sebagai hasil rundingan diplomatik dan semangat muhibah sebagai faktor di sebalik langkah itu.
 

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM