fb fb fb fb fb

Penghayatan al-Quran perlu diperkasa, asas tamadun negara MADANI- PM

Anwar Ibrahim/ Foto BERNAMA

KANGAR, 27 April- Penghayatan al-Quran perlu terus diperkasakan sebagai asas utama dalam membina tamadun negara MADANI.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, usaha itu bukan sekadar tertumpu kepada hafalan semata-mata, sebaliknya menuntut penggalian ilmu, pemahaman mendalam, dan penerapan al-Quran sebagai panduan dalam kehidupan seharian.

Dalam masa sama, penghayatan itu mesti bergerak seiring dengan pembangunan negara supaya tidak tercicir dalam pelbagai bidang, termasuk teknologi yang berteraskan nilai murni dan akhlak mulia.

"Kebenaran dalam 'post normal time' telah dianggap sebagai 'post-truth'; kebenaran kini menjadi relatif, yang haq itu relatif, yang maaruf juga relatif.

"Sebaik sahaja kita pegang konsep 'laiciti sekular extreme' begini, ia tentunya akan meninggalkan daripada prinsip akidah yang kita faham. Tapi saya bawa kembali kepada konsep Tafaqquh Fiddin kerana situasi itu juga mencabar," katanya.

Beliau berkata demikian semasa hadir pada perasmian Pembukaan Majlis Tilawah dan Hafazan Al Quran Peringkat Kebangsaan di Dewan 2020 Kangar.

Menyentuh cabaran masa hadapan, Anwar menyeru umat Islam supaya bukan sahaja menguasai ilmu agama, malah turut menguasai kecerdasan buatan (AI) bagi memastikan umat Islam tidak ketinggalan dalam arus perubahan.

"Dalam masa yang sama, penguasaan bahasa-bahasa dan penguasaan digital AI, semua itu menuntut kita untuk cepat memahaminya; jika tidak, kita akan ketinggalan.

"Maka dalam menghadapi semua ini, yang tetap mendasari adalah pemahaman asas al-Quran dan penghayatannya," katanya lagi.

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM