SANDAKAN, 27 April- Kemenangan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Negeri (DUN) Ayer Kuning semalam membuktikan formula Kerajaan MADANI berjaya menambat dan memenangi hati rakyat, kata Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
"Kemenangan di Air Kuning membuktikan bahawa usaha pertama Kerajaan MADANI, kedua Kerajaan Perpaduan di Perak berjaya menambat hati dan memenangi hati para pengundi.
"Jumlah majoriti meningkat, malah kita lihat jumlah undi turut meningkat. Ini satu petanda yang positif, namun kita tidak harus leka. Banyak yang perlu kita usahakan untuk pastikan kemenangan ini boleh diperkukuh," katanya.
Fahmi berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Hari Bersama Komuniti (HBK) di NADI Sim Sim, di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata kaedah kempen sihat yang digunakan menjadi faktor pengundi di Ayer Kuning memilih Kerajaan MADANI.
Terdahulu, calon Barisan Nasional (BN), Dr. Mohamad Yusri Bakir memenangi PRK DUN Ayer Kuning dengan majoriti 5,006 undi setelah meraih 11,065 undi, menewaskan Abd Muhaimin Malek daripada PN (6,059 undi) dan calon Parti Sosialis Malaysia, Bawani KS (1,106 undi).
Sementara itu, Fahmi berkata dua lagi Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bakal diwujudkan di Sabah.
Lokasi pembinaan NADI berkenaan dilaksana di Gelam-Gelam, Semporna dan Pulau Banggi, Kudat.
Jelas beliau, ia menjadikan jumlah keseluruhan 132 NADI beroperasi, di negeri itu.
"Saya berpuas hati dengan prasarana yang telah disediakan. Malah daripada 132 NADI seluruh negeri Sabah, NADI Sim-Sim merupakan NADI pertama di negeri Sabah yang dilengkapkan dengan internet berkelajuan paling tinggi, iaitu 1 Gbps, dua kali ganda kelajuan internet di Parlimen Malaysia.
"Jadi, dengan kelajuan internet yang sangat laju ini, banyak kemudahan dan banyak program-program kemahiran telah disediakan seperti program NADI Mahir," katanya.