KANGAR, 28 April- Kerajaan Perlis telah mengemukakan 61 cadangan projek bernilai RM3.3 bilion di bawah pelbagai kementerian menerusi Rolling Plan Pertama Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) yang akan bermula awal tahun depan.
Kesemua projek berkenaan dibentangkan pada Mesyuarat Khas Pembangunan Negeri yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Perlis.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli memaklumkan, kesemua projek yang dicadangkan mendapat perhatian Perdana Menteri dan akan diperhalusi bagi mendapatkan kelulusan dan pelaksanaan setiap projek.
"Respons daripada Perdana Menteri amat positif dan boleh dikatakan kesemua kementerian itu dah maklum tentang projek-projek yang kita mohon, contohnya infrastruktur di Pelabuhan Sanglang, kolam tebatan banjir di Chuping, itu yang utamalah.
"Kemudian Sekolah Kebangsaan Chuping ,dikaitkan juga dengan sekolah sukan yang tertangguh lama dan Insya-Allah apabila Perdana Menteri yang menjawab soalan itu, kita rasa sekolah itu akan siap secepat mungkin," katanya.
Beliau memaklumkannya pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTQHK) di Dewan 2020, Kangar yang dirasmikan Perdana Menteri.
Terdahulu, Perdana Menteri turut menghadiri Sambutan Aidilfitri MADANI Peringkat Negeri Perlis yang berlangsung di Dataran Lok 9, Kuala Perlis.