SANDAKAN, 27 April – Semua pihak perlu bertanggungjawab memastikan maklumat yang disebarkan, khususnya melalui media sosial ketika tempoh berkempen, adalah sahih dan tidak menimbulkan fitnah, tegas Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Menurut beliau, penyebaran maklumat palsu menjadi salah satu cabaran utama yang perlu ditangani parti politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Jelasnya, para pengamal media yang membuat liputan berita berkaitan kempen pilihan raya juga memainkan peranan penting dalam memperbetulkan maklumat palsu yang tular di pelbagai platform media sosial.
"Ramai yang mempunyai akses terus kepada khalayak masing-masing. Ini satu keadaan yang mencabar. Yang penting bukan sekadar khalayak umum tetapi juga para pengundi yang menjadi sasaran. Saya lihat kita tidak lagi boleh menjadi 'gatekeeper' untuk mengekang maklumat, tetapi perlu ada hubungan dinamik dengan maklumat. Kita perlu mengesahkan sama ada sesuatu maklumat itu sahih atau sebaliknya.
"Bagi saya, untuk PRN Sabah, saya tidak melihat liputan calon sebagai isu utama kerana masing-masing ada Facebook, TikTok dan WhatsApp group sendiri. Cabaran sebenar adalah untuk mengekang penyebaran maklumat palsu, dan ini perlu diberi penekanan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Lapangan Terbang Sandakan tengah hari tadi sebelum berangkat pulang ke Kuala Lumpur selepas selesai lawatan kerja rasmi ke daerah itu.
Dalam pada itu, Fahmi turut menyeru Komuniti Madani agar mengamalkan konsep "sah baru sebar", dengan memastikan kesahihan maklumat sebelum berkongsi di media sosial serta merujuk kepada sumber rasmi seperti Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan BERNAMA.