fb fb fb fb fb

Universiti bebas tentukan kursus sendiri – Zambry

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir / Foto RTM

MANJUNG, 27 April – Semua universiti di negara ini telah diberikan kuasa autonomi untuk menentukan kursus atau bidang pelajaran masing-masing, kata Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Menurut beliau, isu yang mendakwa Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) campur tangan dalam menentukan kursus yang perlu ditawarkan tidak timbul sama sekali.

Jelasnya, MQA berperanan memastikan kualiti akademik yang ditawarkan oleh universiti mencapai tahap yang sepatutnya.

"Yang menentukan dari segi kursus-kursus yang akan diperkenalkan adalah daripada universiti-universiti dan kemudian universiti akan berbincang dengan pihak MQA.

"Itu pun MQA peranan mereka adalah untuk memberi panduan kepada universiti yang berkenaan dari segi kualiti pendidikan itu sendiri, kurikulum yang diperkenalkan supaya kurikulum itu tidak bersifat substandard, maksudnya tidak rendah nilainya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutup Program Universiti Teknologi Malaysia (UTM) TechnoXplorer 2025 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ahmad Boestamam, di sini.

Sebelum ini, bekas Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Saifuddin Abdullah mencadangkan agar universiti di negara ini diberikan lebih banyak kuasa autonomi, dengan mengurangkan halangan birokrasi bagi membolehkan institusi pengajian tinggi berkembang maju.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN