GAZA, 27 April– Sekurang-kurangnya lapan orang, termasuk seorang remaja lelaki berusia 17 tahun, terbunuh dalam serangan udara Israel di Gaza pada Ahad.
Jurucakap Pertahanan Awam, Mahmud Bassal, berkata berpuluh-puluh orang lagi cedera dalam serangan rejim zionis sejak waktu subuh.
Beliau berkata, antara yang maut adalah tiga yang diserang di kejiranan Zeitun, manakala tiga lagi terbunuh dalam serangan ke atas sebuah bangunan kediaman di kem pelarian Bureij di tengah Gaza.
Dua kematian turut dilaporkan di kawasan selatan Khan Yunis, termasuk seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dalam serangan ke atas bandar Khuzaa dan seorang lagi yang terbunuh apabila bot nelayan diserang di perairan Gaza, menurut Bassal.
Dalam insiden berasingan berhampiran Khan Yunis, sekurang-kurangnya 12 orang cedera dalam satu serangan, kebanyakannya adalah kanak-kanak, di kawasan Al-Mawasi.
Serangan ini berlaku selepas Israel menyambung semula operasi ketenteraannya pada 18 Mac lalu berikutan kegagalan perjanjian gencatan senjata.
Menurut data Kementerian Kesihatan di Gaza yang dikendalikan Hamas, sekurang-kurangnya 2,111 rakyat Palestin telah terbunuh sejak operasi ketenteraan disambung semula bulan lalu, menjadikan jumlah keseluruhan korban sejak perang bermula kepada 51,495 orang.-AFP