fb fb fb fb fb

Melaka sedia pinda undang-undang larang ADUN bertukar parti

(Sulaiman pada Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Melaka hari ini)

AYER KEROH, 29 Julai- Kerajaan Melaka bersedia meminda perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri bagi melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No. 3) 2022 mengenai peruntukan larangan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bertukar parti.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata pelaksanaan RUU tersebut merupakan sebahagian daripada manifesto Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum DUN Melaka, November tahun lalu.

Menurutnya setiap negeri diberikan rangka masa untuk turut serta meminda rang undang-undang berkenaan.

"Parlimen sudah selesai, kita tunggu benda ini (RUU) dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong ada jangka waktu diberikan kepada semua negeri untuk juga turut serta dalam RUU ini.

"Selagi parlimen tak buat, tetapi parlimen sudah lulus maknanya kita dah bersedia, itu juga terkandung dalam manifesto saya (BN) sejak tahun lepas," katanya.

Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Perundingan Belia Negara Peringkat Negeri Melaka, Sidang Dua, Penggal Ke-33, Tahun 2021-2022, di sini hari ini.

(Sulaiman Md Ali)

Dewan Rakyat semalam meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 bagi mengatasi gejala melompat parti dalam kalangan Ahli Parlimen.

RUU membabitkan peruntukan larangan Ahli Parlimen bertukar parti itu diluluskan melalui undian belah bahagian oleh 220 Ahli Parlimen yang menghadiri sidang Dewan Rakyat.

Seramai 209 Ahli Parlimen bersetuju, manakala 11 lagi Ahli Parlimen tidak hadir.

Media Baharu