fb fb fb fb fb

Melaka sasar selesaikan semua projek jangka pendek di 124 kawasan berisiko banjir tahun ini

KANDANG, 26 Februari - Kerajaan Melaka menyasarkan kesemua projek jangka pendek mengatasi banjir di 124 kawasan berisiko dapat diselesaikan sepenuhnya sebelum hujung tahun ini.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir Negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata pihaknya sentiasa memantau perkembangan projek itu bagi meminimumkan masalah banjir berulang di kawasan yang dikenal pasti.

Jelasnya antara yang dilaksana ialah menambahbaik sistem saliran dan longkang, mewujudkan pam air, membersihkan kolam takungan selain mendirikan ban di sungai.

Setakat ini, 80 kawasan berisiko itu telah diambil tindakan oleh pelbagai agensi berkaitan.

"Saya sentiasa memantau perkembangan projek-projek penyelesaian isu banjir ini dari masa ke masa, sama ada yang sudah buat, yang sedang buat dan juga yang akan buat. Saya menyasarkan bulan Jun ini kita telah menyelesaikan hampir 70 peratus sehingga ke penghujung tahun sebelum tibanya musim monsun bulan Oktober. Saya sasarkan bulan September. kita dan selesaikan kerja-kerja kecil-kecil ni," kata Rahmad Mariman ketika ditemui pemberita selepas program taklimat serta pengendalian bot bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Melaka bagi persiapan bencana banjir di sini.

(Sukarelawan dilatih dengan teknik dan langkah yang betul oleh JBPM sebagai persiapan banjir di negeri itu)

Mengulas mengenai pemasangan siren kecemasan di semua kawasan berisiko banjir katanya setakat ini, 13 siren daripada keseluruhan 34 siren telah siap dipasang di kawasan dikenal pasti.

Ia melibatkan kos sebanyak RM4 juta daripada kerajaan Persekutuan.

Pada program berkenaan, sukarelawan dilatih teknik dan langkah menyelamat mangsa banjir menggunakan bot yang disediakan Japerun Ayer Molek.

Media Baharu