fb fb fb fb fb

Banjir di Terengganu: Penduduk terjejas meningkat kepada 2,706

KUALA TERENGGANU, 26 Februari - Penduduk terjejas banjir di Terengganu terus menunjukkan peningkatan.

Sehingga 11 pagi tadi, 2,706 penduduk dipindahkan berbanding 2,563 sembilan pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana negeri berkata ketika ini 53 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di lima daerah iaitu Kemaman, Hulu Terengganu, Setiu, Besut dan dungun.

Kemaman terus mencatatkan bilangan penduduk tertinggi apabila 1,244 orang ditempatkan ke 18 PPS termasuk di Dewan Orang Ramai Kampung Teladas, Dewan Sivik Air Putih, Balai Raya Padang Kubu, Dewan Sivik Felda Seberang Tayor dan Dewan Orang Ramai Batu 14 Kuala Tayor.

Di Hulu Terengganu juga meningkat kepada 717 orang.

Bagi Besut pula, 11 PPS dibuka bagi menempatkan 413 penduduk manakala di Setiu menunjukkan peningkatan kepada 282 dan Dungun 50 penduduk terjejas.


(Keadaan cuaca hujan lebat di Terengganu memaksa penduduk yang terjejas akibat banjir dipindahkan ke PPS bagi tujuan keselamatan) 

Sekretariat itu berkata cuaca semasa sehingga tengahari ini masih lagi hujan lebat berterusan di kesemua lapan daerah.

Terengganu mulai dilanda banjir bermula semalam dan bencana kali ini disifatkan yang paling teruk dalam lima episod gelombang monsun Timur Laut sejak 2 Disember lalu.

Sementara itu, menurut laman web Public Infobanjir, sembilan stesen sungai melepasi paras bahaya dengan tiga daripadanya di Hulu Terengganu di samping masing-masing dua di Besut dan Kemaman diikuti Setiu dan Dungun masing-masing satu.

Media Baharu