fb fb fb fb fb

Banjir di Kelantan: Enam PPS lagi dibuka menempatkan 1,207 penduduk terjejas

(Penduduk terjejas banjir di Kelantan mula bimbang dengan keadaan semasa banjir susulan peningkatan paras air sungai) 

JELI, 26 Februari - Empat daerah di Kelantan dilanda banjir dan menyebabkan 1,207 penduduk terjejas dipindahkan ke 26 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sehingga 11 pagi tadi.

Antara daerah yang dilanda banjir ialah Kuala Krai, Tanah Merah, Jeli dan Pasir Mas.

Setakat jam 11 tengahari, paling ramai dipindahkan di daerah Jeli yang merekodkan 557 penduduk daripada 153 keluarga kini berada di lapan PPS.

Daerah Kuala Krai pula seramai 390 penduduk membabitkan 111 keluarga berlindung di sembilan PPS.

Tanah Merah, lapan PPS dibuka melibatkan 230 penduduk daripada 64 keluarga.

Pasir Mas, satu PPS dibuka setakat ini yang menempatkan 30 penduduk daripada 14 keluarga.


(Situasi semasa banjir di Kelantan setakat 11 pagi tadi)

Sementara itu, tiga sungai utama mencatatkan bacaan melebihi paras bahaya.

Sungai Lebir di Tualang (35.57 meter), Sungai Golok di Jenob (25.94 meter) dan Sungai Golok di Rantau Panjang (10.40 meter).

Dalam perkembangan sama, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd Adni Ibrahim berkata kebanyakan penduduk berpindah awal ke PPS dan pihaknya membantu mereka yang terperangkap di lokasi sukar dan air deras.

Inisiatif itu diambil penduduk selepas melihat paras air meningkat di kediaman mereka.

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Jeli bersama-sama pasukan keselamatan lain sentiasa membuat pemantauan memandangkan jumlah penduduk terjejas banjir di jajahan itu lebih ramai berbanding daerah yang lain.

Media Baharu