AYER KEROH, 8 Mei- Melaka menyasarkan pendapatan RM30 juta melalui kedatangan lebih 6,000 pelancong dari Asia Barat pada Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM 2024).
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, ini di dorong sambutan positif yang diterima daripada agensi pelancong di negara-negara tersebut pada Pameran Perdagangan Pelancongan Arabian Travel Market 2023 yang berlangsung di Dubai baru-baru ini.
Antara sektor pelancongan yang menjadi tumpuan pelancong Asia Barat termasuklah pelancongan kesihatan, rekreasi dan eko pelancongan.
(Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman)
"Menjelang kita hendak menyambut Tahun Melawat Melaka 2024, ini saya cukup yakin ada penambahan pengunjung ke negeri Melaka ini, lebih-lebih lagi awal saya maklumkan promosi yang kita buat di ATM atau pun Arabian Travel Market di Dubai ini mendapat sambutan begitu menggalakkan dan ini kita menyaksikan agen-agen dari timur tengah datang berminat untuk bekerjasama dengan MATTA", katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Melaka Chapter bersama empat agensi pelancongan dari Asia Barat.
Datuk Abdul Razak yakin, dengan termeterai-nya MoU tersebut dapat mengukuhkan kedudukan Melaka sebagai destinasi pilihan bagi pasaran Asia Barat.