KUALA LUMPUR, 8 Mei- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kini mempertingkatkan latihan kepimpinan terhadap 150 pelajar yang disenarai pendek menerusi program Malaysia Future Leaders School (MFLS).
Ia susulan kejayaan KBS melatih lebih 76,000 pelajar menerusi program berkenaan.
Mereka diberi pendedahan dalam membentuk sahsiah pemimpin seawal usia 17 tahun terutama dalam dunia korporat.
Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, pelajar MFLS dipilih dari seluruh negara bagi melahirkan pemimpin berkarisma sekali gus mampu menyumbang kepada pembangunan negara pada masa akan datang.
"Sebenarnya program ini skopnya luas bagaimanapun apabila COVID-19 melanda, kita terpaksa kecilkan skop termasuk usaha kita memperluas ke negara-negara lain. Kita terpaksa tangguhkan, sehingga kita dapat susun kembali.
Saya harap program ini dapat diteruskan kesinambungannya selain menjadi medan utama kementerian membangunkan kepimpinan golongan belia," kata Adam kepada pemberita dalam sidang media selepas Program Titipan Titian Kasih bersama Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizzuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.
(Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim ditemui media dalam Program Titipan Titian Kasih
bersama Pemangku Raja Perlis dan Raja Puan Muda Perlis di ibu negara)
Program itu adalah sebahagian modul yang menekankan elemen kenegaraan iaitu Institusi Beraja.
Turut hadir, Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajjah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.