fb fb fb fb fb

Melaka perlu tambah baik pengangkutan awam

(FOTO HIASAN)

AYER KEROH, 24 Ogos - Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam mencadangkan kepada kerajaan negeri supaya menambah baik perkhidmatan pengangkutan awam bagi menjadikan ia pilihan utama pelancong.

Menurutnya, Melaka sebagai negeri pelancongan sentiasa menjadi tumpuan khususnya selepas beralih ke fasa endemik namun, kebanyakan pelancong cenderung memilih menaiki kenderaan sendiri.

(Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam)

"Justeru saya mencadangkan agar kebolehcapaian kepada pelbagai mod pengangkutan khasnya pengangkutan awam ini ditambah baik supaya semua lapisan masyarakat mendapat kemudahan termasuklah kepada golongan warga emas, ibu mengandung dan kanak-kanak.

"Selain itu juga, jumlah laluan serta frekuensi laluan bas perlu ditingkatkan agar tempoh menunggu dan akses laluan lebih relevan, sesuai dengan kehendak pengguna," katanya ketika berucap pada Istiadat Penganugerahan Darjah, Bintang dan Pingat Kebesaran Negeri Melaka sempena Sambutan Hari Jadi Ke-73 beliau, di sini.

Mohd Ali turut menyarankan Panorama Melaka meningkatkan bilangan bas serta mencari peluang memudahkan akses kepada perkhidmatan teknologi yang diintegrasikan dengan perancangan perjalanan serta pembayaran digital.

"Bagi meningkatkan lagi integrasi dan mempelbagaikan lagi mod perjalanan batuan pertama dan batuan terakhir , adaptasi pengangkutan Mikro-Mobiliti perlulah dijadikan salah satu mod pengangkutan yang digalakkan di Melaka sejajar dengan perubahan teknologi terkini," katanya.

Media Baharu