PENGKALAN RAMA, 26 Oktober - Kerajaan Negeri Melaka memperkenalkan konsep “Pay Less See More” bagi menjadikan Melaka sebagai sebuah destinasi pelancongan yang lebih menarik dan berbaloi untuk dikunjungi.
Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, ia sempena Tahun Melawat Melaka dan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 selain turut memeperkenalkan tujuh inisiatif baharu bagi membawa Melaka ke fasa pelancongan yang progresif dan inklusif.
Antaranya, pelaksanaan Pakej Bersepadu Pelancongan Melaka yang memberikan peluang untuk pelancong dengan hanya perlu membayar satu harga bagi melawat lima produk utama pelancongan negeri.
Turut diperkenalkan adalah produk ‘Hop On Hop Off Cruise' serta Melaka Smart Tourist Card (MSTC) yang menawarkan pelbagai potongan harga di lokasi pelancongan hanya dengan menunjukkan kad tersebut.
"Kita juga memperkenalkan produk baru iaitu 'hop on hop off' yang bakal memberikan sedikit keselesaan para pengunjung ke tengah bandar dalam kesesakan jalan raya yang begitu kemuncak di hujung minggu selain menyediakan tempat mereka meletak kereta", katanya selepas merasmikan Festival Seni Selat Melaka & Festival Sungai Melaka di sini.
Tawaran yang akan bermula pada tahun 2026 itu turut menyediakan pelbagai pakej menarik kepada pelajar.
Inisiatif membuktikan komitmen Melaka untuk kekal menjadi negeri contoh dan penanda aras kecemerlangan industri pelancongan Malaysia.
Jelasnya, sebanyak 13.5 juta pelancong direkodkan ke Melaka dari 1 Januari sehingga 30 September lepas, meningkat 25 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
