Kuala Lumpur, 26 Oktober - Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan penyertaan Timor-Leste sebagai ahli ke-11 ASEAN sebagai satu detik bersejarah membanggakan selain membuka jalan ke arah kerjasama mendalam dan perpaduan serantau yang lebih kukuh.
Bercakap kepada media di Pusat Media Antarabangsa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Pusat Konvensyen di sini pagi tadi, beliau turut menzahirkan rasa bangga kerana Malaysia berjaya menjadi tuan rumah kepada lebih 2,900 pengamal media antarabangsa yang membuat liputan sidang kemuncak berprestij itu.
Mengulas mengenai kerjasama dua hala Malaysia-Timor-Leste, Datuk Fahmi berkata dua memorandum persefahaman (MoU) telah dimeterai malam tadi antara Kementerian Komunikasi Malaysia dan Kementerian Pengangkutan dan Komunikasi Timor-Leste, termasuk dalam bidang komunikasi sosial.
"Terdapat beberapa perkara yang telah diarahkan oleh Perdana Menteri kepada kementerian dan MCMC untuk diteliti.
"Kami mungkin akan menilai perkongsian pengalaman mengenai pelaksanaan 5G serta Pusat Penyebaran Maklumat Nasional (NADI) yang mendapat minat besar daripada pihak Timor-Leste, selain itu, mungkin akan ada juga perbincangan mengenai kabel dasar laut (subsea cables)", katanya.
Tegas beliau, kejayaan menyediakan MoU dalam tempoh kurang sebulan selepas lawatan rasmi Perdana Menteri Malaysia ke Timor-Leste pada September lalu membuktikan komitmen tinggi kedua-dua negara dalam memperkukuh hubungan dua hala.
Menyentuh berhubung Kuala Lumpur Accord yang menandakan perjanjian damai antara Thailand dan Kemboja, beliau berkata butiran penuh akan dikeluarkan oleh Kementerian Luar Negeri selepas majlis menandatangani selesai.