fb fb fb fb fb

Presiden Trump tiba di Malaysia

Foto RTM

SEPANG , 26 Oktober - Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump tiba di Malaysia pagi ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang sedang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Pesawat Air Force SAM 0001 yang membawa Presiden Trump dan delegasi selamat mendarat di Kompleks Bunga Raya kira kira pukul 10 pagi dan disambut Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Turut menyambut ketibaan delegasi itu, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta pegawai-pegawai tertinggi kerajaan.

Presiden Trump dilihat mesra melambai tangan sebaik keluar dari pintu pesawat berkenaan.

Sejurus tiba, beliau menerima tabik hormat daripada anggota Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja yang diketuai Kapten Mohd Masrur Hidayat Masri.

Sambutan turut diserikan dengan persembahan kebudayaan menggabungkan elemen tradisional diiringi lagu Dikir Puteri.

Presiden Trump kemudiannya menaiki kenderaan rasmi bersama Datuk Seri Anwar, diiringi lebih 10 kenderaan untuk bergerak ke KLCC bagi mengadakan mesyuarat dua hala.

Presiden Trump dan Datuk seri Anwar dijangka menyaksikan pertukaran beberapa dokumen penting, termasuk memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang perdagangan dan keselamatan.

Wisma Putra dalam kenyataan memberitahu, ini merupakan lawatan sulung Presiden Trump ke rantau Asia Tenggara sejak dipilih sebagai Presiden ke-47 AS pada Januari lepas.

Lawatan rasmi ini mencerminkan hubungan kukuh dan strategik antara Malaysia dan AS berteraskan saling menghormati, kemakmuran bersama serta aspirasi memperkukuh kerjasama dua hala.

Hubungan dua hala antara Malaysia dan AS kekal kukuh sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1957.

AS antara rakan dagang dan pelabur terbesar Malaysia, dengan jumlah perdagangan bernilai RM324.91 bilion (US$71.39 bilion) pada 2024.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang sedang berlangsung ketika ini hingga Selasa menjadi antara perhimpunan terbesar dalam sejarah blok itu yang berperanan sebagai platform penting untuk memupuk kerjasama lebih mendalam serta menangani cabaran serantau dan global secara bersepadu dan inklusif.

Sidang kemuncak ini menyaksikan lebih 30 ketua negara dan kerajaan termasuk pemimpin ASEAN dan rakan dialog utama hadir seperti AS, China, Jepun, Korea Selatan, Australia, New Zealand dan Kanada.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN