fb fb fb fb fb

Melaka cadang jajaran baharu WCE hubung terus ke KLIA

Kerajaan Negeri Melaka memohon kerajaan Persekutuan mempertimbangkan untuk mempercepatkan pembinaan jajaran baharu yang menghubungkan Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)/Foto Hiasan

MELAKA, 27 September – Kerajaan Negeri Melaka memohon kerajaan Persekutuan mempertimbang untuk mempercepatkan pembinaan satu jajaran baharu yang menghubungkan Lebuh Raya Pantai Barat (WCE) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dalam pembentangan Belanjawan 2026 bulan depan.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata laluan yang dicadangkan itu akan bermula dari Banting, Selangor menuju ke Port Dickson, Negeri Sembilan, seterusnya memasuki Melaka sebelum berakhir di Muar, Johor.

Beliau menegaskan, jajaran baharu itu penting bagi mengurangkan kesesakan lalulintas, selain merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negeri.

“Keutamaan kita adalah meminta supaya jajaran WCE ini dipertimbangkan dengan sewajarnya kerana jalan masuk ke Melaka sekarang sesak. Sekiranya wujud sambungan ini, perkembangan ekonomi Melaka akan lebih rancak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Sesi Libat Urus Belanjawan 2026 bersama pemain industri pelancongan dan pembuatan bersama Perdana Menteri di Kota Laksamana, di sini.

Dalam pada itu, Datuk Seri Ab Rauf turut mengusulkan agar Melaka dijadikan pusat hab halal terbesar negara serta hab sekuriti makanan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN