MELAKA, 27 September – Himpunan 3,000 penari zapin dan persembahan 1,000 dron mewarnai peluncuran Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 di Encore, Klebang di sini malam ini.
Majlis bertambah meriah dengan persembahan istimewa biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, bersama barisan penyanyi terkenal tanah air yang menghiburkan para tetamu.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azhar Arshad berkata pemilihan Melaka sebagai lokasi peluncuran memberi ruang untuk mempromosikan negeri itu sekali gus memperkukuh imej sebagai pintu masuk utama pelancongan negara.
“Dengan adanya promosi kempen pelancaran Tahun Melawat Malaysia, Melaka akan lebih dikenali. Ditambah pula dengan kehadiran wakil-wakil negara seluruh dunia sempena World Tourism Conference dan World Tourism Day, ia seharusnya menjadi tarikan untuk menjadikan Melaka sebagai negeri pelancongan unggul,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis peluncuran yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Datuk Azhar turut optimis TMM 2026 akan memberi limpahan rezeki kepada usahawan tempatan dan komuniti setempat.