fb fb fb fb fb

Melaka bakal jadi pusat penyelidikan budaya dan warisan di Asia Tenggara

BANDA HILIR, 17 Mei - Melaka bakal menjadi pusat penyelidikan budaya dan warisan yang menghimpunkan pakar dalam bidang tersebut di Asia Tenggara.

Ia sekali gus memudahkan pemuliharaan bangunan-bangunan bersejarah di negara ini khususnya di negeri itu.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu berkata, pusat penyelidikan ini juga akan menjadi platform tarikan budaya terancang.

"Dengan itu cadangan untuk mewujudkan pusat penyelidikan budaya dan warisan ini mungkin bertepatan untuk kita ada, mungkin kalau ada di Melaka mungkin tak perlu ada di Penang, di Melaka mungkin untuk Asia Tenggara atau pun kawasan-kawasan yang tertentu, mungkin kita tubuhkan satu bagi mewakili bandaraya antarabangsa," kata beliau selepas merasmikan Program Kerjasama Bandar dan Serantau Antarabangsa (IURC) Bandaraya Melaka- Nouvo Circindario Imolese (NCI) Bologna di sini, hari ini.


(Foto fail)

Turut hadir Datuk Bandar Imola dan Presiden NCI, Marco Panieri, Timbalan Datuk Bandar Metropolitan Bologna, Gabriele Meluzzi dan Ketua Inovasi Penyelidikan dan Projek EU, Marino Cavalio.

Menurutnya, sempena lawatan tiga hari wakil dari Itali itu, MBMB akan bekerjasama rapat bagi membolehkan pakar bandar dari Bologna dan Melaka melibatkan diri dalam dialog kerajaan dengan kerajaan, mesyuarat dasar dan lawatan di tapak, perbincangan dan melaksanakan kerjasama untuk tahun 2022 hingga 2023.

Jelas Zainal, pertukaran ilmu dan kepakaran ini penting memandangkan Melaka mempunyai banyak warisan yang perlu dipelihara.

Selain pelancongan, MBMB juga berhasrat untuk memupuk bandarnya menjadi lebih berdaya tahan, inklusif, mengurus sumber alamnya sendiri, mampan dan menggalakkan pertumbuhan karbon rendah untuk kekal berdaya saing serta meningkatkan kebolehdiaman penduduk.

Media Baharu