fb fb fb fb fb

Kematian lima pelajar USAS: Pemandu treler mengaku tidak bersalah

KUALA KANGSAR, 17 Mei- Pemandu treler yang terlibat dalam kemalangan tragis hingga mengorbankan lima pelajar Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) Khamis lalu, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, Perak hari ini.

Bagaimanapun, tertuduh, Mohammad Amirul Aznizam, 28 tahun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari terhadap lima pertuduhan memandu secara berbahaya hingga menyebabkan kematian kesemua mangsa.

Jika sabit kesalahan, tertuduh berdepan hukuman penjara antara lima hingga 10 tahun serta denda antara RM20,000 hingga RM50,000 selain hilang kelayakan lesen memandu.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohammad Amirul yang memandu treler didakwa telah memandu kenderaan tersebut secara berbahaya dan menyebabkan kematian Ahmad Naim Najmi Ahmad Hafizan, 21; Ahmad Akmal Ahmad Mokhlis, 20; Muhamad Nabil Haikal Muhamad Fariz, 19; Muhammad Nasrun Aidol Munir, 22, dan Iqbal Hasnun Halimi, 23.

Dia didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Kilometer 245.2, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara di dalam daerah Kuala Kangsar pada pukul 1 pagi, 12 Mei lalu.

Lima pelajar USAS maut dalam kemalangan membabitkan dua treler membawa muatan mozek dan besi pagar.

Dalam kejadian itu, kesemua pelajar terbabit rentung selepas kereta dan treler muatan besi pagar yang melanggar dari belakang itu terbakar kira-kira 90 peratus.


(GAMBAR FAIL)

Media Baharu