AYER KEROH, 13 Jun-Kerajaan Melaka menyasarkan RM1 juta nilai jualan pada Melaka Agrofest 2024 yang bakal berlangsung selama tiga hari bermula 21 Jun ini.
Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan Melaka, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata program yang berlangsung di Dataran Sejarah, Ayer Keroh itu juga menyasarkan kehadiran 25,000 pengunjung.
Antara tarikan pada program berkenaan ialah aktiviti kendurian atau makan durian percuma, jualan durian dengan pengurangan 30 peratus berbanding harga pasaran serta agihan 1,000 nanas percuma.
Turut diadakan pertandingan lembu sado.
"Kita sasarkan nilai jualan untuk Melaka Agrofest ini adalah hampir dekat RM1 juta seperti mana tahun-tahun sudah dan insya-Allah,saya yakin kita boleh capai", katanya demikian pada sidang media Melaka Agrofest 2024 di sini.
Tambah Akmal, perasmian program akan berlangsung pada 22 Jun disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.