PUTRAJAYA, 13 Jun- Seramai 200 kakitangan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dipilih sebagai 'Duta Online' untuk menangkis fitnah serta menyampaikan maklumat sahih dan polisi kerajaan secara efektif.
Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming berkata, pasukan itu ditubuhkan bertujuan menyebarkan maklumat yang sahih dan menggunakan bahasa serta pendekatan lebih mudah difahami rakyat.
"Video pendek, siaran langsung, dan pelbagai platform boleh digunakan sebagai medan menyelaraskan info kerajaan supaya rakyat berdiri teguh bersama mendukung aspiriasi Malaysia MADANI," katanya dalam kenyataan selepas menghadiri Bengkel Sentuhan Maya KPKT di sini.
Beliau percaya bahawa dengan kreativiti, maklumat yang benar dapat disampaikan dengan lebih berkesan dan menarik perhatian masyarakat.
Dalam pada itu pencapaian Malaysia yang dipilih sebagai negara ke-10 paling aman di dunia serta ketiga di Asia-Pasifik dalam Indeks Keamanan Dunia baru-baru seharusnya mendapat liputan meluas.
Menurutnya antara faktor utama kejayaan itu adalah dasar kerajaan MADANI yang inklusif, meraikan kepelbagaian dan sentiasa bersikap prihatin.