fb fb fb fb fb

Melaka Agrofest bawa sektor pertanian lebih dekat dengan masyarakat

AYER KEROH, 24 Jun- Penjenamaan semula Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Peringkat Negeri Melaka kepada Melaka Agrofest diharap dapat membawa sektor pertanian lebih dekat dengan masyarakat.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, Melaka Agrofest antara pengisian yang bakal dilaksana pada tahun hadapan sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

"Jadi hasil yang baik ini akan dipamerkan semasa pameran agrofest tahun hadapan sesuai dengan TMM 2024.

"Kita bercadang merangka agrofest tahun hadapan sesuai dengan musim durian, jadi kita boleh buat pelbagai acara menarik bagi pelancong-pelancong untuk datang ke Melaka bagi menikmati kepelbagaian hasil pertanian juga buah-buahan tempatan yang akan dituai pada musim tersebut," katanya kepada pemberita pada perasmian Melaka Agrofest 2023 di Dataran Sejarah, di sini.

Sementara itu, Melaka juga komited melaksanakan kajian Perancangan Guna Tanah Kawasan Sumber Makanan Negara (KAGUMN) dalam usaha menyokong sekuriti makanan negara menjelang 2040.

Kerajaan negeri mensasarkan tanah seluas 21,757.63 hektar di negeri itu yang berpotensi menjadi kawasan tanaman selain meneliti tanah-tanah terbiar.

"Kita ada banyak tanah terbiar terutamanya kawasan-kawan sawah padi terbiar di seluruh Melaka, kita akan minta kajian dilakukandan diambil alih untuk dijadikan kawasan tanaman untuk keterjaminan makanan," katanya.

Berdasarkan kajian sehingga 2021, seluas 11,398.67 hektar tanah di Melaka merupakan kawasan pengeluaran makanan semasa membabitkan padi, buah-buahan, sayuran, penternakan dan perikanan.

(Ab Rauf Yusoh)

Media Baharu