(Perdana Menteri menyampaikan replika cek Bantuan Program Pembangunan Risda Negeri Sembilan
kepada salah seorang penerima pada Majlis Pelancaran Sentuhan Kasih Desa di Dataran Nilai hari ini/ BERNAMA)
SEREMBAN, 24 Jun- Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memperuntukkan sebanyak RM12.8 juta melibatkan 5,757 penerima untuk program pembangunan dan usahawan di negeri ini.
Dalam satu kenyataan hari ini KKDW memaklumkan antara bantuan berkenaan ialah Bantuan Keseluruhan Program Pembangunan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Peringkat Negeri Sembilan bagi tempoh Januari hingga Jun ini berjumlah RM12.3 juta kepada 5,729 pekebun kecil.
Selain itu, sebanyak RM277,000 menerusi FELCRA Berhad dengan RM190,000 kepada enam penerima Program Premis Perniagaan.
Manakala bagi Program Agro Pertanian dan Fertigasi kepada sebanyak RM87,000 diperuntukkan kepada 20 penerima.
KKDW menerusi Bantuan Skim Pembiayaan Ekonomi Desa (SPED) turut menyerahkan RM188,000 kepada dua penerima.
Bantuan tersebut diberikan hari ini pada program Sentuhan Kasih Desa (SKD) Negeri Sembilan di Dataran Nilai yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan.
(Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersama Perdana Menteri pada Program Sentuhan
Kasih Desa di Dataran Nilai, Negeri Sembilan/ FB Zahid Hamidi)
Program SKD akan diadakan di lima negeri selepas ini iaitu Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kelantan dan Terengganu.
Ia sekali gus memberi peluang kepada kerajaan mendengar suara hati rakyat secara dekat serta menawarkan pelbagai inisiatif kementerian kepada rakyat.
Sementara KUD@NS Fest yang diadakan bermula 22 Jun hingga esok mengetengahkan 12 usahawan desa di Arena Usahawan merangkumi sektor pemakanan, perkhidmatan dan tekstil.
Program berkenaan turut menyediakan ruang kepada usahawan luar bandar dalam memasarkan produk jualan melalui jualan langsung, pemadanan dan rancangan perniagaan selain mempromosikan produk dan perkhidmatan luar bandar.