BUKIT KATIL, 29 Januari- Penganjuran Melaka Agro Market (MAM) akan terus diperluas ke seluruh negeri dalam usaha mengurangkan bebanan masyarakat susulan kenaikan harga barangan.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman berkata, pihaknya menyasarkan MAM dilaksana di setiap mukim di negeri itu sekurang-kurangnya sekali sepanjang tahun ini.
"MAM ini akan diperluas di setiap parlimen di Melaka, ini salah satu inisiatif kerajaan negeri untuk bantu rakyat kita dalam masa kenaikan harga barang.
Ia akan diuruskan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Melaka kerana ini merupakan program kerajaan negeri," katanya pada Program Melaka Agro Market dan Jualan Terus Dari Ladang (JTDL) di sini yang turut dihadiri Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Mohd Rustam.
(Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Exco Pembangunan Luar Bandar,
Pertanian dan Industri Asas Tani Melaka)
Sementara itu, Datuk Abdul Razak menggalakkan peniaga di Melaka khususnya usahawan FAMA untuk menyokong transaksi digital bagi memudahkan urusan perniagaan.
Ia sekaligus mendukung hasrat kerajaan untuk beralih kepada transaksi tanpa tunai.