KUALA LUMPUR, 11 November - Radio Televisyen Malaysia (RTM) menerima secara terbuka permohonan maaf seorang pemilik akaun TikTok dikenali sebagai @syukfendi yang memuat naik rakaman siaran lintas langsung Berita Wilayah bagi zon Selatan dari studio RTM Melaka yang bersiaran pada pukul 5:00 petang, pada Jumaat.
Rakaman berdurasi 18 saat itu memaparkan penyampai berita RTM Melaka (bukan pengacara seperti didakwa), Nor Amalina Abdul Halim disolek menyerupai pelakon filem seram Indonesia, mendiang Suzanna.
Timbalan Pengarah Berita Ehwal Semasa RTM, Md. Shahri Saripan menjelaskan hasil semakan pasukannya mendapati rakaman video asal berita tersebut yang disiarkan melalui platform RTMklik dan siaran di televisyen pada petang hari berkenaan tidak seperti yang ditularkan.
"Video yang tular itu seolah-oleh telah disunting semula, terutama solekan di bahagian lingkaran mata penyampai berita berkenaan.
"RTM khususnya bahagian berita cukup terbuka dalam menerima pandangan, teguran atau nasihat orang ramai sebagai penonton setia semua program terbitan stesen ini. Bagaimana pun pandangan atau perkara yang sengaja ditularkan dengan sedikit tokok tambah adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab," katanya menerusi kenyataan.
Tambah Md. Shahri, pihaknya tidak berhasrat untuk mengambil tindakan selanjutnya selepas individu terbabit memuat naik kenyataan maaf di platform media sosial tersebut.
Beliau bagaimana pun mengingatkan pengguna-pengguna media sosial khususnya TikTok lebih cakna dan bijak dalam memuat naik hantaran di akaun masing-masing pada masa hadapan.